Friday, July 20, 2012

:: Air Mata Malam Itu ::


Lewat malam tadi, aku terbangun sementelah mata pun tak mahu meneruskan lelap dalam lelah yang aku fikir aku akan terbuai lena tanpa mimpi ke siang hari. Nyata, ramalanku tidak benar belaka. Terjaga dan tak ada apa-apa yang aku rancang nak buat, membuatkan aku pening memikirkan cara bagaimana untuk melelapkan mata yang membuntang. Atau mungkin bagaimana cara untuk sekurang-kurangnya melayan mata yang aku percaya masih mahu tidur nih. Bagaimana?!? Aku pun buntu.

Lantas, perlahan-lahan aku cabut wayar pengecas yang hampir penuh dan memutuskan cas ke tablet ihsan aku. Segera, aku perlahankan suara papan kekunci dan suara audio supaya tak mengganggu rakan sebelah yang aku kira nyenyak tidurnya. Jejari runcing aku pantas berlari di atas papan sesentuh membuka satu persatu mencari artikel yang sesuai untuk aku baca sambil melayan mata supaya cepat mengantuknya.

Pantas..mata aku tertancap pada satu post pada dinding kawan alam mayaku. Tertarik pada post nya berkenaan ucapan Hari Lahir. Biasa dan tiada istimewanya, bukan? Tapi, ucapan nih bukanlah ucapan biasa. Ucapan yang aku baca lewat malam ini adalah untuk teman jauh. Jauhhh di alam sana. Ucapan untuk jasad yang kejung tidak lagi bernyawa. Yang telah meninggalkan semua yang tersayang dan menyayangi. Meninggalkan alam fana untuk bertemu cinta hakiki di alam sana.. =( Walau aku tidak mengenali arwah, tapi jauh di sudut hati kecil aku, aku sedekahkan Al-Fatihah buat arwah di alam sana.
Yang lagi menarik hati dan minat aku, FB arwah masih aktif. Mungkin ada ahli keluarga arwah yang tahu kata laluan arwah. Aku larikan jejari runcingku menggeledah post pada dinding FB arwah yang tidak terkunci. Subhanallah! Pelbagai post ucapan dari rakan taulan arwah memberi ucapan Hari Lahir meski arwah bukan lagi di sisi. Pelbagai ucapan penghargaan dan ingatan tulus suci dizahirkan dalam pelbagai susunatur ayat mengharukan aku dalam diam dan kelam malam mini. Tanpa aku sedar air mata laju bertakung panas di bibir mata. Mataku berkaca-kaca membaca setiap ucapan tersebut.

Meletakkan diri sendiri dalam situasi tersebut, menyebabkan aku tambah hiba. Adakah mungkin ingatan sebegitu akan tersisa untuk aku yang kebiasaan ini tatkala ajal dijemput Illahi suatu hari nanti? Berapa banyak sedekah Al-Fatihah atau/dan bacaan Yaasin akan aku terima nanti? Benar. Aku luluh memikirkan perkara yang tidak mungkin tidak akan berlaku itu. Hari-hari berlalu bukan sekadar mendewasakan usia, mematangkan diri tetapi mendekatkan diri pada ajalNya. Kesempatan yang masih berbaki ini, gunakanlah untuk menghargai setiap rakan di sekeliling kita. Kelak hilang, menyesallah diri..

Semoga aku mampu menjadi sahabat terbaik anda-anda-anda di luar sana hari demi hari.. Kalaupun saat aku tiada nanti, biarlah yang baik-baik sahaja meniti di setiap butir bicara kalian.. InsyaAllah.. Amiin.. =/

No comments:

Post a Comment