Wednesday, February 1, 2012

:: Baca Kalau Anda Sayang Ibu Anda.. ::

Ibu.. Tiada Galang Gantinya..


Pada zaman baginda Rasulullah SAW, terdapat seorang umat Muhammad bernama Waiz. Beliau seorang yang amat menghormati ibunya menyebabkan ibunya sentiasa berada pada tingkat paling atas dalam diari hidupnya. Pada suatu hari, berkehendakkan Waiz untuk menemui Rasulullah SAW di Madinah al-Mukarramah yang jaraknya antara rumah Waiz di Yaman ke Madinah adalah sejauh kira-kira 400 km. MasyaAllah, Maha Besar Allah menjadikan bumiNya ini sebegitu luas untuk ditelusuri oleh umatNya yang tahu erti bersyukur. Namun begitu, sewaktu berhajatkan akan perkara tersebut, hendak dijadikan cerita ibu Waiz tidak berapa sihat. Lalu berpesanlah wahai si ibu kepada anaknya; Waiz, “Waiz, kamu pergilah ke Madinah sekiranya niatmu itu untuk menemui Rasulullah SAW. Namun, baliklah segera wahai anakku selepas urusanmu selesai kerana ibumu ini tidak berapa sihat”. Mendengarkan sahaja kebenaran serta pesanan ibunya itu, maka Waiz pun bertolaklah ke Madinah. Sejurus tiba di Bandar Madinah, nasibnya tidak begitu baik kerana Rasulullah berada di luar kota. Lalu, terimbas kembali kata-kata ibunya supaya beliau pulang awal. Sepantas itu juga, beliau meneruskan perjalanan untuk pulang ke Yaman bagi menemui ibunya yang tidak berapa sihat itu tanpa menunggu dan berjumpa dengan Rasulullah SAW. Sedangkan niat asalnya memang berkehendakkan untuk bertemu dengan baginda Rasulullah SAW. Sesampainya Waiz di Yaman, beliau terus menjaga ibunya sesuai dengan tanggungjawabnya sebagai seorang anak.

Tidak berapa lama selepas peristiwa itu, maka Waiz berhasrat untuk membawa ibunya yang uzur itu ke Makkah bagi menunaikan rukun Islam ke-5; menunaikan haji. Bagi tujuan itu, Waiz membeli seekor anak kambing untuk dipelihara di atas sebuah bukit. Setiap pagi, Waiz akan memikul dan membawa kambing tersebut di atas bahunya sambil menuju ke atas bukit, dan pada sebelah petangnya Waiz membawa semula kambing tersebut turun dari bukit tersebut, juga dengan menggunakan cara yang sama; memikul di bahunya. Ditanya beliau oleh penduduk kambing, “Wahai Waiz, kenapakah engkau memikul kambing tersebut di atas bahumu sedangkan terdapat jalan yang lebih mudah untuk membawa kambing tersebut menaiki dan menuruni bukit?”. Lantas, sambil tersenyum Waiz berkata, “Aku berhasrat untuk membawa ibuku menunaikan haji di Makkah. Namun keadaan ibuku tidak berapa sihat. Justeru, aku menjadikan ini sebagai latihan supaya aku dapat mengendong ibuku sepanjang menunaikan ibadah haji tersebut”. MasyaAllah, mulia betul seorang anak dalam memartabatkan ketinggian seorang ibu dalam kamus hidupnya yang singkat itu. Maha Besar Allah. Maha Suci Allah. Hari yang dinanti pun tiba, maka kedua beranak ini berjaya menjejakkan kaki di hadapan Kaabah, kurniaan terbesar Allah SWT. Allahuakbar! Di hadapan Kaabah tersebut, maka berdoalah si ibu dan Waiz kepada Pencipta alam semesta ini. Seusai berdoa, diajukan soalan oleh si ibu kepada Waiz, “Wahai anakku Waiz, apa yang kamu doa di hadapan Kaabah Allah ini?”. Lalu jawab si anak, “Wahai ibuku, aku berdoa semoga Allah mengurniakan kesihatan yang baik kepada kamu”. Si ibu bertanya lagi, “Wahai Waiz, berdoalah untuk dirimu, anakku. Mohon kepadaNya supaya dielokkan sopak pada badanmu yang cerah itu”. Selepas beberapa kali didesak, barulah Waiz berdoa memohon supaya penyakit sopaknya disembuhkan. Namun begitu, dalam lingkungan doa Waiz, beliau memohon supaya ditinggalkan sedikit bekas pada sopaknya supaya boleh beliau jadikan sebagai tanda kesyukuran yang tidak terhingga terhadap Allah yang memakbulkan doanya. Dengan kuasa yang ada, Waiz sembuh seperti sediakala dengan sedikit kesan sopak pada badannya. “Syukur aku ke hadratMu, Allah SWT yang memakbulkan permintaan hambaMu yang kerdil ini”, ucap Waiz di dalam hati.Subhanallah, Maha Suci Allah. Jadikanlah aku anak seperti Waiz yang patuh pada ibunya. Janganlah engkau palingkan hati anak kerdil sepertiku ini daripada bersifat tanggungjawab terhadap ibuku tatkala aku dilimpahi rahmatMu yang melimpah ruah ataupun di kala hambaMu ini dihambat kesusahan. Jadikanlah hayatku panjang melebihi hayat ibuku supaya aku dapat membalas jasa dan bakti ibuku kepadaku selama ini. Sesungguhnya hambaMu ini sedar bahawasanya hambaMu ini tidak layak berdoa melainkan tunduk dan patuh pada perintah dan aturan hidupmu. Andai aku tergelincir dari landasanMu Ya Allah, kau berikanlah taufik dan hidayahMu supaya aku dapat dibimbing ke jalan yang Engkau redhai. Amiin!



Subhanallah.. Sebelum terlambat..

1 comment:

  1. Tersentuh Membaca Kisah Zaman Rasulullah...
    Berbezanya Jika Dibandingkan Layanan Kita Terhadap IBU kita Pada Lewat Masa Ini... Subhanallah

    ReplyDelete